Aku mahu tinggalkan dunia dalam sujudku

January 29th, 2009 by aliajwad

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: “Ayah… sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!”
Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.
Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: “Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan…”
Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.
Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.
Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: “Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?”
Malaikat-malaikat itu menjawab:
“Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu.”
Aku bertanya lagi: “Di mana ayahandaku?”
Malaikat-malaikat menjawab: “Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!”
Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.
Ayahanda berkata: “Selamat datang wahai puteriku!”
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
“Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?”
Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: “Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah… engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi…”
Aku berkata: “Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda.”
Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama
lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.
Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.
Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.
Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.
Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu…
Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.
Pada Asma aku berpesan, “Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!”

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun…

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi’ di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

NASIHAT RASUL KEPADA PARA REMAJA

January 29th, 2009 by aliajwad

Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.

(Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi)

SYARAH AL HADIS :

Peliharalah Allah, nescaya (Dia) akan memelihara kamu.

Maksudnya: Kita hendaklah sentiasa memelihara hukum hakam Allah, hak Allah, perintah Allah dan larangan Allah. Iaitu dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.Amalan wajib yang paling utama agar dipelihara ialah ibadah solat. Dan juga termasuk kedalam makna pemeliharaan ini ialah kita mesti memelihara anggota badan kita daripada melakukan perkara perkara haram. Dan diantara hadis yang menyebut tentang pemeliharaan ini, ialah:
Ertinya: Barangsiapa yang memelihara apa yang terdapat diantara dua janggutnya (iaitu mulutnya) dan apa yang terdapat diantara dua kakinya (iaitu kemaluannya) maka dia masuk syurga. (Hadis dari Abi Hurairah).

Ringkasnya, ada dua makna yang dimaksudkan dengan memelihara Allah iaitu:

Memelihara hukum hakam yang berhubungan dengan amalan-amalan hati seperti keimanan (akidah), keikhlasan, rasa takut, cinta, harap dan sebagainya. Begitu juga seperti memelihara hati dari daripada segala jenis penyakitnya. Maka memelihara amalan hati ini adalah lebih penting dari memelihara amalan yang tidak bersangkutan dengan hati. Memelihara hukum hakam yang bersangkutan dengan amalan anggota yanq zahir. Apakah amalan itu membawa kepada kebaikan agamanya seperti solat, menutup aurat dan sebagainya atau yang dapat membawa kepada kebaikan dunianya iaitu muamalat atau aktibiti yang mendatangkan faedah.

Peliharalah Allah, nescaya kamu dapati Dia dihadapanmu:

Maksudnya: Jika kita memelihara Allah sebagaimana maksud diatas maka dia bukan saja akan mendapat pemeliharaan daripada Allah, malahan Allah akan berada dihadapannya iaitu bersamanya dimana saja dia pergi. Allah akan menolongnya, mengawalnya, memperkuatkan hatinya serta menunjukinya ke jalan yang lurus. Orang yang mendapati Allah besertanya akan selalu merasa tenang, gembira, kuat, dan tidak ada yang perlu ditakuti. Bukankah Allah telah menguatkan semangat Musa dan Harun AS ketika mereka merasa takut berhadapan dengan Firaun?

Allah berfirman: Janganlah kamu berdua takut, sesunqguhnya Aku bersama kamu berdoa Aku Mendengan dan Melihat (Thaha: 46).

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah menguatkan semangat Abu Bakar As Siddiq ketika beliau berdua berada dalam gua Tsur?
Firman Allah: Ketika orang orang kafir (mushrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah), sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya: ” Jangan kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita. (At Taubah / 9 : 40).

Dan jika kamu memohon maka memohonlah kepada Allah: Maksudnya: Setelah kita meyakini bahawa jika kita memelihara hukum hakam Allah nescaya Allah akan sentiasa berada bersama kita dengan ilmunya, hidayahnya dan pertolongannya. Maka sudah sewajarnyalah jika kita memohon sesuatu hendaklah kita memohon kepada Allah yang Maha Dekat (Qarib) lagi Maha Pemberi (Wahhab), bukan kepada yang lain.

Permohonan manusia kepada Allah ada dua cara:

Melalui lisan. Mengungkapkan isi kandungan hati melalui lidah dengan penuh khusyuk dan merendah diri (tawadhu’) dihadapan Allah yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.
Melalui amalan. Apa saja amalan yang dilakukan, apakah sebagai pedagang, dokter, pekerja kilang, menuntut ilmu, hendaklah mereka sentiasa ingat kepada hukum hakam Allah ketika melaksanakan tugas masing masing sambil mengharap kiranya pekerjaan tersebut dapat membawa kebaikan baginya pada masa hadapan.
Dan jika kamu meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah.

Kandungan nasihat ini mengandungi dua pengajaran:
Mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.
Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Kecuali dalam hal-hal biasa yang termampu dikerjakan oleh manusia, seperti mengangkat suatu barang, meminjam sesuatu dan lain-lain. Namun demikian kita juga mesti memohon kepada Allah agar dipermudah jalan untuk mendapatkannya.
Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya, tidak melalui sembarang perantaraan atau wasitah dari manusia atau lainnya.

Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah:
Rasul saw. menerangkan kepada Ibnu Abbas RA bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Luh Mahfudz sejak azali.

Oleh sebab itu kita tidak seharusnya terlalu gembira atau berduka terhadap sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kerana kita yakin bahawa segala-galanya adalah di dalam ketentuan Allah. Kalau di dalam ketentuannya tidak ada keputusan untuk memberikan sesuatu kepadanya, nescaya dia pasti tidak akan dapat memperolehinya walaupun seluruh makhluk bersatu berusaha untuk menolongnya. Demikian sebaliknya kalau ditentukan bahawa ia akan mendapatkannya, walaupun seribu halangan, pasti ia akan memperolehinya juga.

Allah berfirman: Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidak ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika dia mahukan kebaikan kepada engkau maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya itu. (Yunus: 107)

KESIMPULAN:

1. Walaupun pada asalnya nasihat ini untuk Ibnu Abbas yang ketika itu masih muda remaja, namun prinsip pengajaran yang dikandung hadis ini adalah umum yang juga berguna untuk orang yang telah dewasa atau tua.

2. Memelihara Allah bererti memelihara agamanya. Memelihara agama bererti menjadi orang yang menuruti hukumnya dan mengikuti peraturannya. Dan itu tidak mungkin dapat dilakukan tanpa amal bakti, usaha dan ikhtiar. Melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

3. Para remaja hari ini terdedah dengan bermacaam pengaruh negatif. Sungguh banyak dikalangan mereka yang jatuh kelembah kehinaan. Mereka sebenarnya boleh mendapat pemeliharaan Allah. Tetapi bagaimana mereka akan mendapat pemeliharaan Allah kalau mereka sendiri tidak berusaha memelihara Allah?

4. Setiap orang tua mesti berusaha untuk memberi kefahaman tentang konsep yang terkandung dalam hadis ini kepada anak-anak mereka. Jika mereka dapat memahami dan mengamalkan konsep ini, selain tugas orang tua akan menjadi lebih ringan dan juga insya Allah para remaja mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.